Monday, February 13, 2006

TAHLIL UNTUK SEORANG SAHABAT…


TARIKH 22 Februari akan sentiasa dikenang. Banglo Jalan Taban sekali lagi jadi tumpuan. Banglo Jalan Taban, walau alamat tidak pernah saya ingat nombornya, tapi sudah jadi tempat yang sudah tidak asing sejak 1992….apabila saya, Kakchah, Chah dan ramai yang lain memenuhi rumah itu mengiringi jenazah insan yang kami kasihi, Sudirman Haji Arshad.

Foto kami bertiga berdiri di muka pintu rumah Jalan Taban itu, ketika jenazah dibawa keluar untuk diabadikan di Temerloh, Pahang, masih dalam simpanan. Foto yang sama pernah tersiar dalam akhbar Harian Metro ketika saya diminta menulis secebis kenangan bersama seniman hebat itu untuk siaran. Memang banyak kenangan yang saya simpan. Beberapa jam sebelum dia buat konsert sejarah Chowkit Road, persiapan dan keresahan dan banyak lagi. Begitu juga dengan rakan-rakan lain yang masing-masing menyimpan kenangan bersama insan yang berjiwa besar ini.

Tahun ini, tahlil diadakan lebih awal di banglo, Jalan Taban, Bangsar milik Datin Rudhiah Arshad, kakak Sudirman dan anaknya, Atai. Kali ini ia dianjurkan oleh Astro untuk Trek Selebriti yang mengadakan slot khas pada 24 Februari ini, jam 10 malam. Antara yang hadir bersama-sama solat maghrib, tahlil dan Isyak itu ialah Siti Nurhaliza, Datuk Sarimah, Yusni Jaafar, Kakchah, Bahyah Mahmood, Aliff Abdullah (dulu Sum Heng Woh, sound engineer masa allahyarham buat album) dan Datuk Sabaruddin Chik. Solat dan bacaan yassin diimamkan oleh Datuk Abu Hassan Shaari.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Amin.

ROSYAM NOR DAN CASTELLO


ROSYAM NOR kata beliau tidak mempunyai sebarang ‘resipi’ tertentu menyakinkan pelabur dan syarikat-syarikat besar melabur dalam syarikatnya menerusi filem terbaru, Castello.

Castello, terbitan pertama syarikatnya, Suhan Movies & Trading merupakan filem yang mendapat banyak tajaan syarikat besar. Selain syarikat jenama biskut, Julies, syarikat kereta, Naza Motors, syarikat telekomunikasi (Celcom) dan gedung pakaian, Kamdar.

Untuk promosi saja, Julies memperuntukan sebanyak RM10 juta manakala RM6 juta untuk billboard besarnya yang terpampang gambar Rosyam. Manakala tajaan syarikat Naza Motors pula adalah menerusi kenderaan seperti dua motor jeski, lapan skuter Gemilang 2 yang setiap satu berharga RM6,000, dua motor scrambler serta tiga kereta mewah yang digunakan dalam filem itu.

‘Apa yang jelas, tanpa tajaan dan rakan-kongsi, saya tidak mungkin dapat jadikan Castello sebuah filem,” kata penerbit berusia 38 tahun ini ketika ditemui kelmarin.

Menurut Rosyam, beliau tidak mungkin dapat menjadikan Castello seperti hari ini, sebagai filem yang penuh dengan adegan lasak kerana ia melibatkan kos yang tinggi. Kos pembikinannya adalah RM1.5 juta.

“Saya simpan projek filem ini selama dua tahun setengah. Ia jadi lambat kerana tak ada siapa yang nak taja. Seramai 52 orang saya temui, akhirnya, Nusanbakti Corporation, pihak ke 53, bersedia jadi rakan-kongsi. Selebihnya saya mohon pinjaman Finas,” katanya.

Rosyam berkata, beliau bersyukur, sekalipun namanya masih baru dalam penerbitan filem, tetapi dapat meyakinkan pihak penaja dengan baik.

“Saya amat berbesar hati kerana filem ini dapat dukungan dan sokongan ramai pihak. Malahan, saya tidak nafikan saya mempunyai team yang baik, terutama dengan Bada dan krew dan pelakon-pelakon.

“Saya tidak nama besar untuk membintangi filem saya, kecuali Erra Fazira, untuk beberapa adegan saja. Kalau nak diikutkan, saya boleh ambil pelakon terkenal, tapi cara itu tak bantu industri ini. Kerana itu, saya ambil Zain Ruffedge dan Que Haidar untuk watak penting, begitu juga watak utamanya, Liyana Jasmay yang sebelum ini hanya berlakon drama TV,” katanya.

Filem yang dibuat penggambaran di Golok, Rantau Panjang, Puyrajaya dan sekitar Kuala Lumpur ini akan ditayangkan mulai 5 Januari di 46 pawagam di seluruh negara. Malahan, beliau yang baru pulang dari Kuching gembira kerana empat tayangan tengahmalam di bandar itu habis dijual.
Manakala tayangan di Brunei dan Singapura tidak dapat diadakan pada masa ini kerana tawaran yang diberikan oleh pihak berkenaan terlalu rendah.

“Peminat-peminat saya di Singapura boleh tonton filem ini di dua pawagam di Johor Bahru iaitu di City Square dan Mega Pavillion. Kalau boleh bawalah keluarga kerana filem ini bukan hanya untuk remaja sahaja, tetapi untuk tontonan keluarga.

“Kerana dalam filem ini saya cerita tentang dadah hancurkan bangsa dan institusi keluarga,” kata Rosyam yang turut menyelitkan unsur agama di dalamnya.

“Ini juga satu pendekatan baru, siapa sangka dalam sebuah filem eksyen, ada unsur agama yang kuat. Iaitu, kita boleh terlepas dari hukuman dunia, tetapi siksa di akhirat masih ada.

“Saya harap Castello akan jadi ikon untuk filem Melayu hari ini kita tidak ada hero, berbanding barat,” katanya pelakon ini yang sudah bersedia untuk menerbitkan filem kedua syarikatnya, tahun depan.

“Saya dan Bada akan buat Castello 2, tapi semuanya bergantung pada sambutan orang terhadap filem pertama ini. Kerana jika filem ini berjaya, tentunya penaja akan bersedia meneruskan tajaan. Tapi sekarang mereka mahu lihat pulangan, itu satu hakikat. Orang tidak labur saja-saja.

“Sebab itu, saat ini saya berdebar-debar. Sekalupun maklum balas yang saya dapat dari pranonton filem adalah cukup baik, media juga memberikan sokongan, saya tidak tahu bagaimana pula nasib filem ini di panggung,’ katanya.

Mengenai sasaran untung besar, Rosyam berkata: “Saya tidak pernah ada sasaran kerana filem sebenarnya kita tak boleh jangka. Tapi, apa yang saya harap, Castello akan jadi filem boxoffice. Bila untung, saya akan buat filem yang lebih baik lagi. Itu saya janji.”

APA KHABAR PUTERI REFORMASI NURUL IZZAH ANWAR


PUTERI REFORMASI, Nurul Izzah Anwar baru-baru ini pulang bersama suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar untuk menyambut Aidiladha di tanahair. Sejak Jun lalu tahun lalu, beliau berada di Amerika Syarikat mengikuti kursus sarjana hubungan antarabangsa dengan pengkhususan pada kajian Asia Tenggara atau Advanced School For International Studies di Universiti John Hopkins, Washington DC.

Meskipun ia satu kursus yang agak sukar dan beliau merupakan satu-satunya pelajar tunggal dari Malaysia, kecuali seorang pelajar kedoktoran, beliau yakin dapat menamatkannya sehingga Disember tahun ini. Program pengajian yang sebenarnya memakan masa dua tahun.

“Insyaallah, akhir tahun ini, saya harap dapat menamatkan pengajian di sana dan selepas itu akan terus kembali semula ke tanahair. Itu rancangan setakat ini,” kata Izzah yang saya temui dua hari sebelum Aidiladha.

Selain kerinduan pada tahanair dan keluarga, beliau juga rindukan rakan-rakan di Malaysia. Menurutnya, sekalipun beliau berada jauh, hatinya sentiasa di negara ini. Kerana itu beliau tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan terkini Malaysia melalui pelbagai laman web yang boleh dilayarinya.

Menurut Izzah beliau tidak bercadang tinggal lama di Amerika bahkan rancangan memendekkan kursusnya adalah semata-mata untuk perjuangan parti. Beliau mahu kembali untuk berkempen. Ia sudah menjadi satu penguat semangat baginya setiap kali menghadapi cabaran dan kesukaran.

“Saya sentiasa memikirkan tentang teman-teman, tentang perjuangan. Hakikat bahawa suatu hari nanti saya akan kembali berjuang bersama rakan-rakan dan papa, itu bukan suatu rahsia. Kursus yang saya ambil ini juga sebagai mengisi perjuangan itu. Ia diharapkan dapat membantu saya memberi sumbangan dalam perjuangan untuk parti.

“Kerana itu saya anggap Jurusan Asia Tenggara cukup penting dan berharga,” katanya.

Pengajian itu juga memerlukan beliau menguasai satu bahasa dan subjek makro dan mikro ekonomi yang katanya, bukan subjek yang mudah. Beliau memilih bahasa Mandarin kerana katanya bahasa itu kaya dengan budaya dan sejarah di samping digunakan secara meluas. Sebelum ini, beliau hanya tahu sedikit bahasa Kantonis.

“Setiap hari saya melatih diri bercakap Mandarin secara intensif. Siang, malang, hanya Mandarin kerana cara menguasai bahasa adalah dengan latihan dan bercakap selalu. Walaupun suami saya tidak faham, tapi saya paksa supaya dia dengar.

“Cuma bila berjumpa Tian Chua, baru saya diberitahu sama ada sebutan saya itu betul atau salah,” jelasnya.

Jadual dan programnya setiap hari terlalu padat. Kelas diadakan setiap Isnin hingga Jumaat manakala pada hujung minggu pula program dibuat oleh pensyarah di kediaman mereka.

“Saya tidak rasa bosan belajar, tambahan pula pelajar yang ada bukan calang-calang. Kebanyakan mereka dari Universiti Harvard, yang hampir kesemuanya memiliki elemen keterbukaan. Ini memberikan ruang untuk diskusi dan berfikir secara lebih terbuka, ia jauh berbeza dengan pelajar kita yang dihambat oleh akta universiti,” katanya.

Keterbukaan itu, tambah Izzah, adalah penting untuk pembangunan minda. Ia perlu dicontohi di pusat pengajian tinggi negara ini,” katanya yang juga merupakan antara pelajar termuda. Kebanyakan mereka berusia sekitar 27 tahun sedangkan Izzah baru 25 tahun.

Namun, baginya, perbezaan usia tidak timbul dan tidak penting. Apa yang lebih perlu ialah saling menghormati pandanngan satu sama lain.

Menurut Izzah, pada mulanya tidak ramai yang mengenalinya, terutama sebagai anak bekas perdana menteri malaysia. Ini kerana kebanyakan pelajar yang ada adalah di kalangan orang penting dan berkaliber. Bahkan, Izzah berkata, dia sentiasa berpegang teguh pada kata-kata Profesor Bridget Wells, “anda perlu membuat kejayaan dan kekalahan sendiri.”

“Saya tidak mahu bergantung pada kejayaan ayah, saya mahu mencipta kejayaan dan pencapaian sendiri. Kerana itu seboleh-bolehnya saya tidak mahu mereka tahu siapa saya, tapi lama kelamaan ramai kawan-kawan yang membuat carian dalam google dan mereka tahu siapa saya,” katanya.

Sesuatu yang menarik cerita Izzah adalah ketika latihan simulasi krisis Asia Tenggara diadakah pada 19 November tahun lalu. Setiap negara diwakili oleh pembesar masing-masing dan memandangkan Izzah pelajar Malaysia tunggal, beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Badawi. Malahan Izzah turut memakai lencana PM dan seorang lantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Simulasi itu diadakan untuk melatih bagaimana kami menangani krisis, iaitu krisis tumpahan minyak. Ia simulasi yang mencabar dan cukup realistik kerana semuanya hebat-hebat.

“Kebetulan saya terlambat waktu itu, lalu saya membuat ucapan terima kasih kepada timbalan saya, Datuk Seri Najib kerana tidak ambil mengadakan rampasan kuasa untuk mengambil jawatan saya. Itu ucapan saya secara spontan!” cerita Izzah yang turut dimaklumkan bahawa sememangnya Abdullah Badawi selalu lewat di majlis-majlis yang dihadirinya.

Dalam usahanya mengejar ilmu untuk melengkapkan diri itu, beliau bersyukur suaminya berada di sisi.

“Bagi saya kehadiran suami pada ketika ini cukup penting. Inilah situasi yang paling ideal untuk saling memahami dan bertolak ansur. Walaupun fokus saya pada pengajian, kami cuba berkompromi dari segi citarasa dan cita-cita. Memang dia terpaksa bersabar dengan karenah dan menu-menu yang saya sediakan.

“Mungkin menu itu tidak perlu saya sebutkan tapi apa yang jelas, pengorbanan dan kesabarannya amat saya hargai. Ini penting bagi seorang isteri,” katanya.

Sementara Izzah ke kelas, Shahrir pula bertindak mengatur program Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia tidak terkecuali bekerja pada Sabtu dan Ahad. Ketika ditanya apakah kesukaran bekerja dengan bapa mertua sendiri, bekas kakitangan sebuah syarikat minyak terkemuka di Malaysia ini berkata; “Saya tidak anggap ia sukar. Malah saya bersyukur dapat bekerja dengan seorang yang dinamik, tajam dan pantas. Jadi, sebagai pekerja, saya juga mesti tip-top .

“Ia satu pengalaman bekerja yang baik untuk saya kerana bekerja di bawah beliau kita mesti bukan setakat good saja, tapi excellent,” kata Shahrir yang pernah mengatur program Anwar di universiti-universiti seperti Harvard, Michigan dan New York.

Sambutan di setiap tempat yang dikunjungi Anwar adalah menggalakkan, seperti di New York di mana Anwar diberi anugerah Atlas Freedom oleh Institut Atlas pada November 2005 yang lalu untuk tahanan politik. Hampir kesemua program mendapat sambuta kecuali di Michigan yang kebanyakan pelajar Malaysia ditaja oleh kerajaan, mereka telah terlebih dahulu diberi amaran untuk tidak hadir di perjumpaan Anwar.

Selain program universiti, Shahrir juga mengatur program bersama kumpulan pemikir dari Washington yang menjadi kenalan Anwar selama ini. Kebanyakan isu yang dibincangkan ialah mencari penyelesaian konflik Islam dan Barat, masalah teroris dan sebagainya.

Terhadap satu soalan yang sering ditanya oleh rakan-rakan dan penyokong parti, terutama tentang cahayamata, pasangan ini yang mendirikan rumahtangga pada 9 Mei 2003 mengakui mereka ingin mempunyai cahayamata.

“Anak adalah anugerah Allah. Bila kami berkahwin, kami sudah bersedia untuk kehadirannya. Tetapi setakat ini rezeki kami belum ada lagi. Kalau ada rezeki, kami sudah bersedia.”




.

MAWI YANG TERCINTA OK TAPI.....


MUNGKIN harapan yang diletakkan terlalu tinggi untuk seorang lelaki bernama Mawi menerusi album sulungnya. Malangnya, album berjudul Mawi – Yang Tercinta itu tidaklah sebaik yang diharapkan. Atau mungkin ‘world music’ masih terlalu baru untuk artis kita.

Ironisnya, album ini menggandingkan nama besar dalam industri muzik, bagaimanapun hasilnya tidak lebih sebagai sebuah album yang biasa saja. Jadi adalah agak mengecewakan terutama kerana Mawi telah memperlihatkan kemampuannya membawakan lagu ‘Aduh Saliha’ dan ‘Intifada’ dengan cukup baik. Penghayatannya mengatasi peserta AF yang lain.

Hanya beberapa lagu saja yang dianggap menepati citarasa seperti lagu ciptaan Fauzi Marzuki, ‘Kian’, lagu ciptaan M Nasir “Lagu Jiwa Lagu Cinta’ dan sudah tentu tidak ketinggalan lagu, ‘Aduh Saliha.

Dalam ‘Lagu Jiwa Lagu Cinta’, Mawi berduet dengan sifu dalam irama rancak manakala lagu ‘Kian’ berirama ballad yang lebih sesuai dengan kekuatan pengghayatan Mawi.

Namun, lagu ciptaan komposer lain yang termasuk lagu sifu M N asir sendiri (beliau menghasilkan empat dari lapan lagu) tidak sehebat nama mereka seperti Kurnia Tuhan ciptaan Ajai, Di Pintumu ciptaan M Nasir, Cinta Yang Hakiki ciptaan Yassin Sulaiman.

Ia tidak cukup kuat untuk memberi pakej yang melengkapkan populariti penyanyi ini selepas kemenangannya menyapu bersih kemenangan dan juga kemasyhuran berbanding pelajar Akademi Fantasia lain.

Album ini diterbitkan oleh M Nasir, Ajai, Fauzi Marzuki dan Yasin. Ia mendapat kerjasama ramai pemuzik terkenal tanahair seperti penyanyi latarnya selain Mawi, dibantu juga oleh Ajai dan Yassin. Manakala pemuzik undangan pula ialah Fauzi Marzuki, Ujang Exist, Sham Kamikaze, Jay Jay, Zul Mahat, ddie Marzuki, Napie Spider, Ameer dan Hamzah Mohardiman.

Terbitan Maestro Records, album ini turut memuatkan kata-kata keramat Mawi yang disebut disetiap persembahannya, ‘Muzik muzik jugak, akhirat jangan lupa’. Mungkin, belajar dari kesilapan dan kelemahan, kita mengharapkan album keduanya akan jauh lebih baik.

SARIMAH LABUR SAHAM DI DUNIA


JIKA dulu nama Wardina digunakan untuk melariskan tudung dan selepas itu Mawi, pada musim hari raya yang lalu nama Datuk Sarimah Ahmad pula menjadi sasaran.

Malahan, dari tinjauan di beberapa negeri di Semenanjung bahkan di Brunei, tudung Sarimah semakin mendapat sambutan sehingga kini. Salah seorang penjual tudung di Alor Setar yang ditemui berkata meskipun seniwati itu tidak pernah ditemui, tudungnya paling popular di negeri itu.

Seniwati Sarimah sendiri yang pernah menyaksikan namanya di kedai-kedai menjual tudung berkata fenomena itu sesuatu yang menggembirakan hatinya meskipun beliau tidak ada kaitan dengan si penjual tudung, apa lagi mendapat imbuhan komisyen seperti produk iklan lain.

“Bagi saya itu satu ibadah. Saya halalkan mereka menggunakan nama saya, sekurang-kurangnya itu satu dakwah. Jika lebih ramai orang bertudung setelah melihat saya dalam TV atau lakonan saya, saya bersyukur,” katanya.

Sambil menyifatkan ia sebagai sahamnya di akhirat kelak, Sarimah berkata pada usianya beliau tidak mampu untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk menjalankan dakwah.

“Saya tidak punya kemampuan seperti itu meskipun saya diberikan kesihatan, tetapi bagi saya berdakwah bukan bererti mesti duduk di masjid. Jika apa yang kita lakukan baik dan menjadi ikutan, itu sudah satu dakwah.

“Saya bersyukur, sekurang-kurangnya, cara saya bertudung ini dapat menarik orang ramai untuk menutup aurat, mereka pula memakai tudung seperti yang saya pakai. Apa yang penting, kita lakukan ibadah,” kata Sarimah yang kini memastikan agar watak yang diberikan untuknya berlakon tidak lari dari ciri-ciri wanita Islam.

“Nampaknya ramai yang menghormati dan memahami saya. Mereka malahan tidak bantah bila saya berikan syarat bahawa saya haya akan terima tawaran untuk watak wanita bertudung, yang tidak memerlukan saya membuka tudung, sekalipun untuk adegan tidur.

“Bagi saya, itu penting, aurat itu yang lebih utama, jika tidak, ia tidak membawa pengertian apa-apa,” ujar seniwati ini yang banyak mendapat pujian melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dari peminat-peminat di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.

“Kebanyakan mereka puji bila nampak saya dalam TV. Mereka memberikan saya kata-kata perangsang dan semuanya mendoakan kebaikan saya. Saya tidak tahu dari mana mereka dapat nombor telefon, tapi saya berterima kasih kerana mereka memberikan waktu menghantar mesej kepada saya,” terangnya.


Sesuai dengan kedudukannya kini, Sarimah yang menduduki jawatankuasa biro agama dalam Persatuan Karyawan Malaysia baru-baru ini menjadi ketua kumpulan nasyid dan marhaban persatuan itu.

“Mungkin kerana saya yang paling tua, jadi kerana itulah saya menjadi ketua,” kata seniwati ini. Turut menganggotai kumpulan nasyid ini antaranya, Ahmad Fauzee, Norlia Ghani, Syahni dan Betty Benafe.

Beliau ketawa apabila ditanya tentang cubaannya menyanyi pada usia 63 tahun. Katanya, “Saya ni bukan penyanyi, tapi sekadar memberi semangat kepada anak-anak muda, jadi saya pun sertai kumpulan itu. Kebetulan menantu saya, Syed Mahadi pun jadi ahli,” katanya.

Beliau tidak menafikan kegiatannya dalam Persatuan Karyawan itu mengisi kekosongannya sebagai seorang wanita yang hidup tanpa suami.

“Sunyu memanglah ada kalanya terasa juga, sebab itulah saya bergiat dalam persatuan, boleh juga hibur hati di samping berbuat amal,” katanya.

Sebagai ibu tunggal, beliau gembira dapat menyambut hari raya baru-baru ini bersama anak-anak dan 30 orang cucu. Bahkan beliau seperti hari raya yang lalu, memasak untuk mereka.

“Kecuali anak lelaki saya Shahril, peguam syariah di Brunei yang kini sudah tiga anak, anak dan cucu lain semuanya berkumpulan di Subang. Itulah kekayaan saya,” ujarnya.

Mengenai usia yang genap 64 tahun April depan, seniwati ini yang tidak pernah merahsikan umurnya berkata satu kelebihan yang diberi Tuhan kepadanya sehingga kini adalah kesihatan.

“Alhamdulillah, Allah beri saya kesihatan. Saya selalu minta pada Tuhan supaya diberikan kekuatan untuk beribadah, maklumlah, sesetengah orang seusia saya sudah tidak boleh solat cara biasa, sakit lututlah dan macam-macam.

“Saya selalu mohon biarlah saya dapat buat ibadah sempurna sampai akhir hayat."

SAZZY FALAK TAK SEMPAT BERCINTA DENGAN NORMAN


PELAKON Gol dan Gincu dan pengacara rancangan remaja terkenal, Sazzy Falak tidak menolak pernah keluar dengan Norman Abdul Halim. Katanya, hubungan mereka hanya sebagai kawan biasa, tetapi tidak sampai ke tahap serius kerana kesibukan masing-masing mengejar kerjaya seni.

Gadis jelita berusia 25 tahun itu berkata kesibukan mereka dalam kerjaya masing-masing menyebabkan hubungan mereka tidak sampai ke mana.

“Kami pernah berkawan, tetapi ia tidak sampai ke mana, belum sampai peringkat bercinta pun kerana selepas itu kami sibuk. Bahkan kami jarang berjumpa,” kata Sazzy ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun menafikan mereka bercinta dan merancang untuk berkahwin, kerana hubungan mereka berdua tidak sampai ke tahap itu. Namun tidak menolak, jika mereka meneruskan hubungan itu dengan mengenepikan kerjaya masing-masing ia tidak mustahil berlaku.

“Tapi itu tidak mungkin berlaku kerana kami adalah manusia yang sibuk mengejar kerjaya seni. Dia dengan syarikat dan album serta KRU manakala saya baru nak bertapak dalam dunia seni,” katanya

Katanya, kini mereka hanya sekadar bertanya khabar sekali-sekali.

Menurut Sazzy, sejak beliau menginjakkan kaki dalam bidang lakonan dan pengacaraan, beliau tidak mempunyai masa untuk keluarga, rakan-rakan dan juga ‘dating’.

“Ini yang menyedihkan. Saya tidak punya masa untuk keluarga dan berjumpa kawan-kawan. Tapi saya sudah buat ketetapan, tahun ini saya akan berikan masa yang lebih untuk diri saya di samping kerjaya,” katanya.

Ketika ini, selain menjadi pengacara untuk rancangan Beat TV yang memasuki musim ketiga April ini, beliau baru saja menjadi pengacara MTV, MTV Juice sejak Julai tahun lalu.

Sementara Beat TV membuat rakaman di sekitar acara-acara hiburan, MTV Juice pula dibuat rakamannya setiap dua minggu sekali di studio MTV, Singapura.

“Say akan naik kapalterbang ke Singapura pada pagi Jumaat dan pulang sebelah malam ke Kuala Lumpur. Rakaman mengambil hanya tiga jam, tapi cukup mencabar kerana saya berpeluang bekerja dengan tenaga profesional, kerja lebih menyeronokkan,” katanya.

Menurut Sazzy, cabaran baginya ialah menjadi pengacara untuk dua rancangan dalam satu masa. Baik Beat TV mahupun MTV Juice merupakan rancangan yang sama coraknya, iaitu hiburan bermaklumat.

“Ia mencabar kerana kedua-duanya jenis sama, jadi saya mesti lakukan sebaik mungkin agar kedua-dua rancangan tidak bercampur-aduk. Kadang-kadang ia boleh berlaku. Sebab itu, saya mesti sentiasa berhati-hati apabila bertugas,” katanya.

Sazzy yang pernah mengikut kursus Komunikasi Massa dari Kolej Lim Kok Wing sebelum ini bertugas dalam bidang IT. Sebelum terkenal, beliau banyak terlibat dalam pelbagai jenis pekerjaan lain antaranya menulis untuk majalah, berlakon iklan, teater dan menjadi deejay. Kerana itu beliau menjadi seorang yang berani, punya keyakinan diri dan pandai berdikari pada usia yang masih muda.

Beliau sebelum ini dapat tawaran menjadi pengacara beberapa rancangan, tetapi dia memastikan agar rancangan yang dihoskan itu sesuai dan menyeronokkan. “Saya tidak mahu jadi hos saja, tapi saya mahu jadi hos yang baik yang mana rancangannya menyeronokkan saya. Kalau saya sendiri tidak suka, bagaimana saya nak buat orang sukakan rancangan itu.”

Menurutnya, selepas Gol dan Gincu, beliau banyak juga menerima tawaran tetapi kebanyakannya menawarkan watak yang sama – iaitu watak Shasha, wanita antagonis yang berjaya dihidupkannya.

“Bila saya tengok skrip, ia sama seperti watak Shasha. Ini yang tak sedap sebab saya takut menjadi pelakon yang dicop dengan watak yang sama, apa lagi jadi perempuan seperti Shasha.

“Saya harap, saya dapat peranan yang berlainan,” kata Sazzy yang ketika ini sedang menimbangkan beberapa tawaran, tapi belum diputuskan.

Anak ahli perniagaan, Sazzy berkata beliau dibesarkan dalam keluarga liberal yang kuat disiplin. Dan beliau memegang prinsip bahawa dalam apa juga yang dilakukan, ia mesti diimbangi kerana baginya hidup adalah terlalu singkat untuk disia-siakan begitu saja.

“Ayah saya menerapkan unsur disiplin manakala ibu saya pula mengajar saya untuk teliti dalam kerja. Saya ini jenis yang suka bekerja dan bila saya kerja, saya beri perhatian dan komitmen sepenuhnya. Itu latihan yang saya dapat dari orang tua saya,” jelas gadis ini yang ramah dan laju bila bercakap.

“Saya memang suka bercakap, mungkin sebab itu saya seronok buat rancangan seperti Beat TV dan MTV Juice. Bahkan semasa di kolej dulu saya dapat jolokan, Orang Yang Paling Peramah. Jadi sebab itulah kerja sebagai pengacara ni jadi mudah, mungkin memang saya ni jenis yang suka bercakap,” kata.

Walaupun berfikiran terbuka, gadis moden ini bagaimanapun mengaku beliau boleh bertolak ansur dalam beberapa hal kecuali tentang tempat kediaman.
“Saya tinggal di apartmen sendiri. Media boleh jumpa saya di mana-mana, tetapi tidak di rumah saya. Rumah bagi saya terlalu peribadi untuk dikongsi dengan orang ramai,” katanya.

LAMARAN DEMI LAMARAN BUAT NASHA AZIZ


“Orang macam mana yang saya mahukan, saya sudah tahu. Tapi siapa dia, hanya Allah saja yang dapat memastikan orangnya,” demikian kata Nasha Aziz ketika ditanya tentang calon suami.

Pelakon jelita itu yang mengerjakan umrah pada bulan puasa tahun lalu bersama Erra Fazira dan Umie Aida tidak menolak bahawa beliau suatu hari nanti akan mendirikan rumahtangga kerana itu sememangnya impian setiap wanita Muslim.

Dalam satu temubual eksklusif bersamanya semalam, Nasha tidak menafikan dia sudah menerima lamaran daripada beberapa orang rakan lelaki, tetapi menurutnya beliau masih belum memastikan siapa yang bakal dipilih.

“Memang saya tak nafikan sudah ada yang melamar, bukan dari seorang, terutama apabila ada berita yang keluar kononnya saya akan berkahwin. Lepas berita itu keluar, datang pula lamaran yang lain kerana ada yang dakwa mereka kawan dengan saya lebih lama.

“Tapi setakat ini saya belum buat apa-apa keputusan. Saya kena fikir dan buat pilihan yang betul kerana ini soal masa depan. Saya mesti pilih lelaki yang betul,” katanya.

Beliau tidak menolak mempunyai ramai kenalan lelaki, kerana beliau suka berkawan. Katanya, kesemua kenalannya bukan saja kalangan industri bahkan ada yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan dunia filem . Ada yang sudah dikenali selama empat ke lima tahun.
Namun, katanya, kesemua mereka dianggap sebagai kawan biasa. Sejauh ini, beliau belum membuat ketetapan ataupun pilihan. Pilihan, katanya, biar Tuhan yang menentukan.

“Orang semacam saya tidak punya waktu untuk jalin hubungan yang rapat atau keluar dating. Bukan saja kerana saya ini pelakon bahkan kerana prinsip saya yang agak kuno sikit, sekalipun fesyen pakaian saya cukup up-to date.

“Saya jenis yang tak percaya pada dating. Saya tak suka keluar setiap hari atau malam, ini yang selalu orang salah faham tentang saya. Maklumlah, saya ni berpegang pada banyak prinsip, hinggakan saya rasa saya ni lady of many rules,” katanya berjenaka.

“Jadi, waktu saya mengenali mereka adalah melalui talipon, sms dan keluar sekali-sekala ke majlis-majlis. Tapi saya percaya, pilihan saya adalah pada orang yang konsisten, yang bukan hilang timbul dalam hidup saya. Paling penting juga pemikiran, kesungguhan, kesetiaannya dan jika diizinkan Allah, orang yang semacam ini akan dipertemukan dengan saya,” kata Nasha yang menafikan membuat doa tertentu di Jabal Rahmah ketika berada di Mekah.

“Orang kata kalau pergi ke sana elok doa untuk jodoh, tapi saya tak pergi pun ke bukit tu. Saya pergi untuk ziarah rumah Allah kerana Dia yang bagi saya rezki hingga saya mampu. Tapi semata-mata untuk pergi sana dan doa pasal jodoh, tidaklah.

“Saya bukan pergi untuk membuat permintaan tapi menyatakan syukur saya kerana menjadikan Nasha Aziz seorang yang tabah di samping mendoakan saudara Islam yang lain,” terangnya.


Meskipun beliau tidak terkejut atau marah diajukan soalan mengenai perkahwinan kerana sedia maklum ia sesuatu yang lazim dalam dunia artis dan media, tapi Nasha berharap keghairahan itu biarlah jangan sampai melibatkan maruah artis wanita.

“Saya tidak kisah orang tanya saya, tapi nanti apa pula pandangan masyarakat terhadap kami? Perasaan yang sama ini saya rasakan apabila Normala Shamsudin dulu sering ditanya tentang soal kahwin. Nampak seperti sebelah pihak saya yang beriya-iya, pada hal di pihak lelakilah yang lebih.

“Saya harap media faham dengan dilema artis wanita kerana persepsi orang di luar sana agak negatif,” pintanya Nasha.

Kerana itu, jika anda menganggap Nasha adalah artis yang suka hidup bebas, ia anggapan yang silap. Sebaliknya, pelakon dan model terkenal ini mengutamakan batas sebagai umat Islam lebih utama.

“Jika saya mahukan kebebasan, saya akan pilih tinggal di New York kerana Zang Toi dan Jimmy Choo ada di sana. Mereka sukakan saya tapi saya tidak dapat melihat diri saya sebagai model yang umum tahu tidak ada batasannya. Sedangkan saya tidak mahu pakai pakaian mandi atau baju tidur kerana saya tahu batas orang Melayu dan berpegang pada ajaran Islam.

“Sebab itu saya pilih untuk jadi model biasa, pendapatannya bagus juga. Maksud saya, walaupun saya kerja dalam bidang ini, saya tahu mana yang boleh dan tak boleh,” ujar artis ini yang mempunyai 21 tahun pengalaman sebagai peragawati.

Walaupun dengan batasan dan sekatan, Nasha masih menjadi buruan untuk persembahan fesyen dan modelling. Misalnya dia tidak lama lagi akan ke Shanghai dan Taiwan, untuk satu pertunjukan pakaian pengantin besar-nesaran di sana.

Ketika ditanya apakah jika berkahwin nanti, beliau akan meninggalkan bidang lakonan dan peragawati, Nasha berkata, “Setiap kita mempunyai impian dan cita-cita. Impian murni saya memanglah kalau boleh saya mahu berhenti dan memberikan tumpuan kepada alam rumahtangga.

“Mungkin kerana didorong ke arah itu, saya telah menyiapkan diri membuka produksi saya, Born Rich Picture dan hasil pertama adalah filem Buli Balik, turut diongkosi bersama rakan-rakan lain.

“Apapun, yang jelas saya juga seperti orang lain ada impian dan harapan. Biarlah Allah saja yang tentukan, saya hanya berdoa yang terbaik,” katanya.

CERITA DARI ALANG SEDAYU....ITO KEMBALI DENGAN DIKIR BLUES



ARTIS muda hari ini mesti mempunyai perjuangan dalam dunia muzik kerana perjuangan itulah yang akan menjamin masa depan mereka dalam industri ini, kata penyanyi Ito Mohamad ketika ditemui kelmarin.

Penyanyi utama kumpulan Blues Gang itu berkata, sebagai penyanyi yang boleh dianggap veteran, beliau mendapati indunstri hari ini dipenuhi dengan penyanyi berbakat tetapi tidak ada perjuangan,

“Saya dapati hari ini ramai artis muda yang berbakat, tapi mereka tidak ada perjuangan. Ia penting kerana masa depan industri hari ini bergantung pada perjuangan mereka hari ini.

“Saya tahu yang sanggup berjuang memang tidak ramai. Saya ingat lagi, saya pernah tentang akta 1969 yang mana stesen ketika itu tidak diperlukan bayar royalti lagu artis setiap kali lagu mereka dimainkan oleh media atau tempat-tempat lain. Inilah yang membawa kepada penubuhan MACP ( Music Authors Copyright Protection).

“Hasilnya, hari ini penyanyi boleh menikmati royalti yang tinggi. Inilah pentingnya perjuangan, ia menjamin masa depan yang lebih baik,” kata Ito yang kini tampil dengan album barunya, Dikir Blues selepas tujuh tahun tidak merakamkan album.

Album itu yang diterbitkan di bawah syarikatnya, Ito’s Cottage, diedarkan oleh Life Record mengembalikan Ito dalam industri muzik setelah tujuh tahun tidak merakamkan album.

Sebagai eksperimen, Ito menggabungkan elemen blues dan dikir barat dalam nafas yang lebih unik. Ternyata gabungan itu cukuo menarik dan ada keserasiannya. Baginya, irama tradisinal pantai timur itu wajar dipakejkan agar lebih ramai yang dapat menghayati dan menikmatinya.

Ito yang kini sudah menjadi datuk tiga orang cucu, masih menetap di kampung halamannya sejak 1993 di Kampung Pulau Sebang, Tampin, Negeri Sembilan, kembali semula ke Kuala Lumpur untuk promosi albumnya. Malahan pertemuan dengannya berlangsung di tempat ‘persembunyiannya’ di Alang Sedayu, sebuah kawasan hutan yang terletak di perkampungan orang asli di Batu 13, Gombak, Kuala Lumpur.

“Bila saya tidak ada urusan lain, saya dan isteri akan kembali ke kampung, kehidupan di sana lebih sederhana dan damai,” katanya.

Menurut Ito, suasana alam semulajadi yang tenang dan dingin di Alang Sedayu itu memberikan beliau ilham untuk menghasilkan Dikir Blues, album yang dibuat rakamannya di Studio Nagar Nagar di Kuala Besut, Terengganu manakala proses adunannya dibuat di Studio Joe Wings dan Kings Studio di Kuala Lumpur. Ia di Studio Joe Wings dan Kings Studio di Kuala Lumpur.

Dikir Blues memuatkan lima lagu iaitu Apo Nak Di Kato, Katakanlah, susunannya dibuat semua dengan memasukkan unsur dikit barat. Manakala tiga lagu lain ialah Dialah Allah, Jangan Pandang Kulit dan ;agu dialek Kelantan – Negeri Sembilan, Jumpo Kawan Lamo.

Lagu kegemarannya adalah lagu ketuhanan rentak perlahan, ciptaan komposer Indonesia Dol S, Dialah Allah. Katanya, “Bila sudah tua-tua begini, lagu ketuhanan lebih meresap di jiwa.”

Menurut penyanyi ini yang terkenal dengan perjuangan menentang cetak rompak danpernah diwawancara oleh akhbar Washington Post mengenai isu itu, apa yang lebih penting baginya ialah menghidupkan irama blues. Beliau yang sentiasa konsisten dengan irama itu berkata blues sentiasa sebati dengan jiwanya. Album itu yang berada di pasaran sejak sebulan lalu memberi laluan kepada seorang penyanyi dikir barat yang terkenal di Kelantan, Mat Glamour bertajuk, Lamo Tak Jumpo (Lama Tak Jumpa).

Ito berkata, meskipun beliau selama ini menyepikan diri beliau masih beraksi untuk malis-majlis makan malam bersama Blues Gang. Sementara rakan-rakan lain seperti Karim dan Jim masih bermain di beberapa kelab, Ito memilih untuk berihat dari menyanyi kelab.

“Zaman saya menyanyi di kelab sudah berlalu. Saya sudah tak boleh tahan melayan orang mabuk sebab itu saya dah malas buat show di kelab-kelab. Itu masa muda-muda dulu tak apalah. Sekarang pun saya kurang, Cuma dinner show saya buatlah, sebulan mungkin ada 2 show. Cabang pendapatan tidak terbatas, rezeki ada di mana-mana selagi kita ada kemahuan, Tuhan maha mengetahui,” katanya.


Beliau berkata, kesediaannya untuk kembali merakamkan album adalah kerana cintanya pada irama blues dan keinginan untuk mengangkat martabat lagu tradisional Melayu.

“Mulanya saya fikir saya malas nak nyanyi. Iyalah kita masih dalam keadaan di mana cetak rompak masih berleluasa, secepat mana penduduk bertambah, begitu juga cetak rompak. Tapi saya mesti kembali menyanyi lagu blues kerana blues bagi saya bercerita tentang manusia dan kehidupan.

“Saya suka bercerita tentang semua ini. Kita ajak orang kita berfikir. Jangan asyik lagu yang cerita tentang rindu serindu-rindunya hinggakan kita abaikan soal kritikan sosial dan kemanusian,” kata penyanyi yang terkenal dengan lau Apo Nak Dikato ini.

NASIR JANI SELEPAS 15 TAHUN...


TIDAK ada istilah takut dalam hidupnya. Manusia mesti berani menyatakan kebenaran, itu prinsip pegangan anak jati kampung Datuk Dol Said, Alor Gajah, Melaka ini. Pernah mengarah dua filem, “Rozana Cinta 87” dan “Kembara Seniman Jalanan”, pemegang Diploma Mass Communication UITM ini masih bersemangat kental meskipun rentetan pengalaman yang dilalui cukup sinematik.

Mohd Nasir Bin Jani diingati oleh orang muda dengan caranya sendiri. Beliau merupakan orang yang berani membaling batu memecahkan cermin di pejabat Finas, mencarut dalam satu program bual bicara yang disiarkan secara langsung oleh sebuah stesen TV, dan paling diingati memakai baju F**k Mahathir dalam perbicaraan di mahkamah.

Nasir pernah dipenjara dan pada usia yang bakal menjangkau 51 tahun Februari depan, semangatnya tidak pernah mati. Setelah 15 tahun tidak pernah menemui wartawan untuk sebarang wawancara. Nasir yang saya kenali sejak beliau pertama kali mengarah filem, berasal dari negeri yang sama dengan saya, Melaka. Mungkin kerana kami sama-sama 'anak Naning", beliau bersedia bertemu pada hari itu. Ikuti sedutan wawancara ini yang memecah kebisuan Nasir sekian lama....

Bila kali terakhir saudara ditemubual wartawan?
Tak ingat…tapi ini kali pertama selepas 15 tahun. Ini kali pertama saya bercakap…bagus juga, biar orang tahu apa yang berlaku.

Apa yang sebenarnya berlaku?
Semuanya bermula dengan mesyuarat pertama penubuhan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) sekitar tahun 1991 bila AR Badul bangkitkan tentang 100 episod siri Pendekar yang HVD dapat dari Menteri Penerangan, Datuk Mohamad Rahmat (Tok Mat)waktu itu. Saya bersuara menentang kemasukan pengarah-pengarah Hong Kong dalam HVD. Tiba-tiba, dua minggu lepas tu, timbul isu rambut panjang. Bagi saya isu rambut panjang waktu itu ditimbulkan bukan untuk jaga “moral”, tapi untuk mengalihkan pandangan supaya segala penyelewengan dan rasuah dalam Kementerian Penerangan di bawah Tok Mat dapat ditutup.

Kenapa saudara kata begitu?
Itulah dia. Saya bukan penyanyi, saya karyawan filem. Betul saya rambut panjang, tapi itu bukan isunya. Saya menentang ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa oleh menteri itu yang buat siaran langsung gunting rambut Kumpulan Search. Dia habiskan duit rakyat. Saya malu mempunyai Menteri Penerangan dalam planet Allah Taala yang bawa isu rambut.

Orang kata saudara anti-establishment, betul begitu?
Bukan, yang saya anti adalah rasuah. Masa tu saya tidak tau berapa duit yang disonglap tapi saya tahu ada yang tak betul. Sebab, ada peruntukan untuk penerbit-penerbit tempatan untuk program TV yang jawapannya saya tahu pada 1997.

Apa sebenarnya yang berlaku pada 1997?
Kegawatan ekonomi. Bulan November tahun itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bentangkan bajet setahun untuk Kementerian Penerangan sebanyak RM400 juta yang sudah dipotong jadi RM200 juta. Maknanya segala andaian saya betul, sepanjang 1991 hingga 1997 Tok Mat dapat peruntukan itu tapi secara diam dia agihkan kepada HVD. Itulah sebabnya HVD boleh buat papan iklannya betul-betul depan bangunan Angkasapuri sekitar tahun yang sama itu kerana mereka dapat habuan dari Tok Mat. Betul andaian saya, isu rambut panjang hanya untuk tutup isu penyelewengan dan rasuah. Nasib baiklah ada kegawatan ekonomi, baru pecah rahsia. Sebab itu sepanjang tahun 1992 hingga 1994, rentetan peristiwa yang berlaku dalam hidup saya terlalu banyak, kalau boleh mereka nak bunuh saya. Bayangkan betapa banyak Tok Mat sudah gunakan duit untuk kepentingan dirinya sendiri.

Saudara orang Melayu yang pertama maki kerajaan waktu itu secara ‘live’ di TV3 dalam rancangan Teleskop yang ditamatkan selepas itu. Saudara juga pakai baju F**k Mahathir di mahkamah awal tahun 1994. Kenapa saudara begitu marah pada Mahathir?
Dia memperbodohkan rakyat. Melayu hilang hala tuju kerana dia. Selama 22 tahun dia perintah negara dengan menanamkan kebendaan.Dia membiakkan rasuah, penyalahgunaan dana kerajaan, penyalahgunaan kuasa. Dia rosakkan bangsa saya.

Apakah elemen penentangan ini saudara masukkan ke dalam filem saudara?
Sudah tentu. Saya nampak walaupun dah 20 tahun, ada beberapa babak dan dialog dipotong, dialog pedas menyindir. Mungkin saya terlampau ke depan masa tu.
Saya tak tahu orang perasan ke tidak, dalam Kembara Seniman Jalanan saya buat grafiti pada tembok bertulis “Mana Hilang RM2.3 Juta”. Itu statement saya tentang penyelewengan yang berlaku pada Bank Bumiputra tahun 1983. Saya cuba usik minda penonton. Saya buat filem itu tahun 1984, ditayang pada 1985. Sebagai karyawan filem, kemampuan saya setakat itu. Mahathir membiakkan rasuah.

Apa sepatutnya peranan karyawan filem Malaysia hari ini?
Karyawan kita kena pecahkan apa yang ditanam oleh Mahathir. Ini zaman transisi. Zaman inilah kita boleh bercerita gila-gila keburukan 22 tahun itu; rasuah, masalah ekonomi, cetak rompak. Kita boleh bercerita dengan lebih terbuka. Saya cabar karyawan kita agar guna lesen karyawan. Kita kena ubah mind set. Takkan Pak Lah nak banned kita kerana bercerita pasal rasuah? Najis yang dah 22 tahun ni kena bongkar.

Kemunculan karyawan muda yang kononnya “avant garde”, apa pandangan saudara?
Pada saya mereka tidak ada akar umbi. Betul mereka buat filem Melayu, contohnya Sepet. Mana boleh seorang pengarah Melayu naikkan hero seorang lanun cetak rompak, sedangkan cetakrompak adalah masalah kita yang utama. Kerana cetak rompak ekonomi saya hancur, itulah perjuangan saya seama ini. Dalam Gubra pula dibuat satu adegan Imam pegang anjing? Apa tu? Apa sebenarnya yang nak kita tunjukkan?

Filem-filem Yusuf Haslam, Razak Mohaideen dan Aziz M Osman tidak berkembang, apa pandangan saudara?
Bagi saya yang penting mereka tidak biarkan industri ini vakum. Mereka terus berkarya, walaupun isi tidak ada, tapi ada kuantiti. Apapun, sekurang-kurangnya mereka ada Melayunya. Roh mereka tetap Melayu, berbanding dengan filem lain yang jasadnya Melayu tapi rohnya tidak. Apabila ada vakum, orang luar akan masuk. Ini berlaku dalam bidang muzik. Bila ada ruang kosong yang kita sendiri tak isi, masuklah Iwan Fals, Sheila On 7, Dewa, Peter Pan dan macam-macam.

Apa pandangan saudara tentang pembangkang di Malaysia?
Pada saya pembangkang mesti ada satu front, lupakan ideologi, kita mesti bergerak secara kolektif. Kita mesti kukuh dan ada “packaging”, ada logo dan manifesto sendiri. Ini penting kerana kita sudah ada pemimpin macam Pak Sheikh. Kalau BN guna Satchi & Satchi, kita kena eksploit kekuatan yang kita ada.

Saudara yakin BA boleh menang?
Saya selalu berfikiran positif. Salahuddin Al-Ayubi boleh menang 200 tahun perang. Saya tidak pernah berfikiran negatif.

Saudara pernah dimasukkan ke Tanjung Rambutan. Bagaimana saudara membena kekuatan untuk melawan tekanan, jika ada?
Solat. Apakah orang gila akan bangun tahajjud tengah malam? Itulah kekuatan saya. 30 hari saya di situ. Saya jumpa Prebet Adam. Macam-macam yang saya lihat dan rasa. Orang tak gila pun boleh gila kalau tak kuat iman.

Saudara sanggup masuk penjara dan memilih untuk terus melawan, kenapa?
Saya pegang satu prinsip. Mahathir atau Tok Mat, mereka diundi oleh rakyat jadi pemimpin. Tapi tidak ada siapa pun undi saya untuk jadi pengarah filem. Orang suka boleh tengok, tak suka jangan tengok filem saya.Saya tidak perlukan undi. Tapi mereka, bila orang tak undi, habis. Tapi saya masih di sini.

Saudara kini masih menetap di kampung, Alor Gajah, tanpa kerja, bagaimana melalui zaman zaman sukar itu?
Saya bawa anak isteri ke kampung tahun 1996. Kewangan saya teruk masa itu, isteri pula dah berhenti TV3 1991. Kami hidup cara kampung, rumah saya cuma ada barang-barang asas, tak ada TV selama 5 tahun. Saya bersyukur keluarga memahami, isteri, anak-anak dan mertua. Sekarang saya ke Kuala Lumpur bila ada urusan. Apa yang berlaku satu hikmah juga kerana saya dapat muhasabah diri dan mengurus keluarga, pelajaran dan masa depan anak-anak. Yang sulung lulusan IT manakala tiga yang lain memilih pengajian Islam. Anak ketiga saya, 13 tahun, bulan puasa lalu mengimamkan solat kami sekeluarga. Syukurlah.

Pembabitan saudara dalam PAS, bagaimana?
Saya pilih platform PAS kerana masa tu belum ada Keadilan.Saya dan keluarga menjadi ahli PAS seumur hidup. Saya dan Dinsman pernah buat video Sehari Dalam Kehidupan Tok Guru.

Apa pandangan saudara tentang pembangkang di Malaysia?
Pada saya pembangkang mesti ada satu front, lupakan ideologi, kita mesti bergerak secara kolektif. Kita mesti kukuh dan ada “packaging”, ada logo dan manifesto sendiri. Ini penting kerana kita sudah ada pemimpin macam Anwar. Kalau BN guna Saatchi & Saatchi, kita kena eksploit kekuatan yang kita ada.

Saudara yakin BA boleh menang?
Saya selalu berfikiran positif. Salahuddin Al-Ayubi boleh menang 200 tahun perang. Saya tidak pernah berfikiran negatif.

Imej saudara dengan jeans dan rambut panjang, masih sama, apakah ini cerminan saudara sebetulnya?
Apa yang di luar tidak sama dengan di dalam. Yang penting adalah isi, hati dan jiwa kita. Melayu saya cukup tebal. Saya orang Naning, dan saya pilih Hang Jebat.

Apa pandangan saudara tentang orang Melayu hari ini?
Ramai orang kata orang Melayu berpecah belah. Pada saya Melayu tak berpecah, Melayu hanya berterabur. Melayu berterabur sebab Mahathir yang ajar cari kebendaan. Benda berterabur ni boleh disusun.Soalnya siapa yang boleh susun?

Siapa pada anggapan saudara yang boleh melakukan “kerja menyusun” itu?Pak Sheikh. Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dia yang boleh susun. Bukan setakat orang Melayu saja dia boleh susun tapi semua bangsa dan lapisan kerana bukan hanya ada orang Islam saja di Malaysia ni. Ini kelebihan yang ada pada BA.

Adakah saudara rasa penat selepas 15 tahun ini?
Ini saya cakap dari pengalaman. Memang ada masa kita penat, bila itu berlaku, kita kena relaks, tapi jangan give-up.

CHEF WAN RAYA DI LONDON


Jika tahun-tahun yang lalu, Cef Wan mengadakan rumah terbuka di rumah keluarganya di Raub, Pahang, tapi tahun ini rumah terbukanya diadakan di Kedutaan Malaysia di London.

Cef Wan yang berlepas ke London pada Ahad (30 Oktober) akan memasak untuk 200 tetamu bagi rumah terbuka yang berlangsung di rumah duta Malaysia di Hampstead.
Ketika ditemui di lapangan terbang, Cef Wan yang berlepas ke Hong Kong terlebih dulu untuk menjayakan konvensyen yang dinamakan, Casbaa Convention (World Cable TV Convention) berkata ini adalah kali pertama dia berhari raya di luar negara.

“Saya akan berada di London kali ini selama dua minggu. Tapi anak-anak dan keluarga saya akan tetap mengadakan rumah terbuka di Raub, Pahang macam selalu. Cuma kali ini, saya tak ada,” katanya.

Katanya, program beraya di London itu dibuat kerana secara kebetulan dia akan mengadakan beberapa pertemuan dengan wakil-wakil stesen TV luar negara dan bertemu dengan kawan-kawan rapat.

“Jadi, secara kebetulan, kedutaan Malaysia dapat tahu, mereka pun aturkan program untuk saya di mana saya akan memasak untuk 200 tamu di samping mengadakan demonstrasi masak untuk isteri-isteri duta di sana.

Majlis jamuan hari raya itu selain dihadiri oleh duta-duta juga akan disertai pelajar-pelajar beragama Islam yang berada di London.

Beberapa hari sebelum berlepas, Cef Wan yang baru pulang dari penggambaran untuk rancangan masakan bersirinya bagi Asia Food Channel di Pokhara, Katmandu, India, telah menyenaraikan menu yang akan disajikan pada jamuan yang akan diadakan pada hari raya pertama itu.

“Macam biasa saya akan masak rendang daging dan hidangan lain yang biasa diakan pada hari raya. Semuanya resipi saya,’ katanya.

Menurutnya, kesemua bahan-bahan dibawa dari Kuala Lumpur melalui pesawat MAS kargo, seminggu sebelum itu.

“Saya sudah senaraikan bahan-bahan seperti serai, lengkuas dan macam-macam yang diperlukan dan kesemuanya dihantar melalui pesawat. Saya cuma datang masak, buat demo dan raikan tetamu, macam selalu itulah kerja saya,” kata Cef Wan yang mengaku mempunyai jadual yang sibuk sepanjang bulan puasa tetapi masih sempat pulang ke Raub melawat ibu dan bapa serta bertemu anak-anaknya.

“Tahun ini banyak majlis buka puasa yang tak dapat saya hadir kerana jadual yang padat. Lepas balik dari Katmandu di mana kai shootig dalam bulan puasa, saya baik Kuala Lumpur, sibuk pulak susun jadual untuk program di Hong Kong dan London,’ katanya.

Untuk konvensyen di Hong Kong, Cef Wan membuat demo mengenai ramadan dan hari raya di mana dia membuat demo cara anyam ketupat, memasak lemang dan membuat roti jala.

“Lepas itu sibuk pula dengan post-production Asia Food Channel sebelum ke London,” katanya.

Mengenai persiapan raya, Cef Wan berkata, dengan jadual yang padat dia tidak mempunyai waktu untuk membuat persiapan raya. Kuih-muih rayapun haya dibeli dari kakaknya sendiri. Bagaimanapun, katanya, kebanyakan kuih-muih raya itu adalah resipinya.

“Saya yang bagi kakak saya resipi, sekarang, saya pula terpaksa beli dari dia,” katanya.

Sempena hari raya tahun ini, dia mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya kepada peminat-peminatnya di Malaysia dan Singapura.

“Saya ucapkan selamat hari raya kepada semua, walaupun tahun ini saya tak muncul di TV untuk program masakan di TV. Kepada peminat-peminat di Singapura pula saya tetap tak lupa. Sekalipun saya akhir-akhir ini tak lagi dipanggil oleh stesen di republik itu, saya tetap ingat semua. Jangan ingat saya tak nak datang Singapura, cuma saya tak dipanggil.
Bila saya buat program masakan di luar negara, saya selalu kata, alangkah baiknya kalau program begini dibuat di negara sendiri atau di Singapura.

“Tapi, apapun, kepada semua umat Islam di Malaysia dan Singapura, saya ucapkan Selamat Aidilfitri dan maaf zahir batin dari saya. InsyaAllah, lepas dua minggu raya, saya akan balik ke Kuala Lumpur,” katanya.